2023-05-15

Anak-anak bawa balik makanan sendiri yang tak bersentuh.



Kesian tengok video ni.
Orang ni kata dia buat makan-makan, jemput dalam 30 orang, tapi yang datang 3 orang je.
Siapalah nak makan berlambak-lambak ni, kan.
Tapi takpe, kalau ada jiran, bungkus bagi kat jiran-jiran.
Takde rezeki nak menjamu kawan-kawan tapi ada rezeki sedekah kat jiran.
Menjamu juga namanya.
Cuma yelah, bengang.
Lebih-lebih lagi kalau yang dijemput dah janji nak datang tapi tak datang-datang.
Lebih bengang lagi dapat jenis yang beria-ia suruh kau buat open house, bila kau buat, tak datang.

Aku percaya tuan rumah dalam video ni takkan buat open house kalau takde yang gatal berjanji nak datang.
Dan pasti juga ada yang gatal mulut bertanya "Bila nak buat open house?".
Tak pun "Buatlah open house, kitorang nak datang".
Tiba hari kejadian, meruyup.
Kesian tuan rumah kena sidai.
Selalunya, yang paling beria suruh kau buat open house itulah yang terpaling tak nampak bayang di hari kejadian.

Hari tu ada isu pot luck di sekolah.
Kisahnya anak-anak bawa balik makanan sendiri yang tak bersentuh.
Takde orang makan.
Tahu tak, benda ni pernah terjadi kat Rayyan masa Darjah 1 dulu?
Aku tak pasti program apa.
Maybe sambutan raya.
Masing-masing bawa makanan.

Kisahnya, aku tak teringat lansung majlis ni.
Esok nak majlis, hari ni baru teringat.
Itupun En Wan yang teringat, bukan aku.
Aku jenis malas baca whatsapp group, memang patut sangatlah tak teringat.
En Wan pun laju-laju pegi Giant beli biskut gulung ala Julie's tu.
Yang sandwich role Love Letters tu.
Tapi En Wan bukan beli yang Julie's.
Dia beli versi ekonomi, yang Giant punya 😆.
Beli kemain lagi, 2 balang terus. Satu perisa cokelat, satu lagi stoberi.

Balik dari sekolah dari jauh nampak Rayyan menjenjet plastik yang sama.
"Pa, takde orang makan makanan adik".
En Wan jawab "Kawan-kawan adik tak biasa makan ni agaknya, sebab ni makanan orang putih".
Konfiden laki aku jawab. Aku menjeling je dari tepi.
Dari awal aku dah pesan, pegi beli kek kat Berry's.
Takkkk. Dia tau nak beli apa katanya.
Last-last takde orang makan.
Masalahnya bawak balik rumah, aku pun tak makan sebab tak sedap.
Makanan omputih konon.
Padahal budak-budak tu pun tahu brand Giant tak sedap.

Sejak dari tu, aku yang akan take over apa juga celebration kat kelas dia.
Bila cikgu announce je siapa nak bawa apa, aku akan pastikan makanan Rayyan yang pasti budak-budak makan.
Selalunya aku buat spageti aglio olio. Kadang-kadang kek.
Kek kena pastikan nampak sangat menarik.
Benda ni kita takleh deny.
Kita sendiri pun ambil makanan based on rupa.
Nampak kuih tu cantik, ambil.
Nampak packaging makanan tu cantik, ambil.
Budak-budak pun sama, cenderung ambil yang nampak menarik.
Melainkan kek tu kau letak sebelah McD, dah tentulah dorang capai McD dulu.

Ini bukan cadangan tau.
Sekadar bercerita pengalaman saja.
Karang ada pula yang kata "Semua orang nak bawa makanan sedap, tapi budget takde".
Tak, aku tak suruh sesiapa ikut.
Aku cuma cerita aku pun ada pengalaman yang sama.
Yang benarnya, pot luck masih valid untuk budak sekolah.
Cuma, cikgu kena listkan apa yang mesti dibawa.
Bukan apa, kalau mak bapak selalunya bekalkan anak dengan makanan yang sedap di tekak dorang, bukan di tekak anak-anak.
Contohnya kuih raya.
Budak-budak manalah beria makan kuih raya macam kita. Tak dipandangnya.

Kelas Rayyan dulu, cikgunya letak siap-siap:

1. Mee
-
-

2. Kek
-
-

3. Nugget
-
-

4. Air
-
-

5. Sudu/cawan/pinggan
-
-

6. Buah
-
-

Lebih kurang macam tulah.
Cikgu dah siapkan apa yang kelas mahu.
Setiap satu makanan, cikgu peruntukan 2 atau 3 pembawa.
Maknanya mak bapak kena cepat.
Kalau kau nak bawa spageti goreng, isi nama anak siap-siap kat ruangan "Mee".
Bila dah ada orang tulis "spageti aglio olio" (contoh), orang lain tak bawa dah.
Maybe dia akan bawa mihun goreng pula.

Kalau nak bawa kek, isi nama anak kat ruangan "Kek".
Kalau semua hidangan dah penuh orang book nak bawa, yang lain tak payah bawa dah.
Datang bawa diri je cukup.
Takde siapa kisah anak kau tak bawa apa-apa.
Tapi sekolah anak orang lain tak tahulah macamana pula, kan.
Selama 6 tahun Rayyan di SKPH2, takde mak bapak kisah pun kalau balik-balik nama tu je yang bawa makanan untuk anak-anak.
Janji budak-budak kenyang.
Bawakan makanan yang mereka nak makan.

Tapi so far, yang paling best adalah MRSM Langkawi, batch Redza.
Batch orang lain aku tak tahu. Boleh jadi best juga.
Tapi aku cerita batch Redza lah, ya.
Especially kalau makan-makan di kalangan Homeroom.
MRSM ada sistem Homeroom yang mana seorang cikgu akan menjaga 10-15 orang pelajar dari Form 1 hingga Form 5.
Cikgu inilah yang akan update segala hal tentang anak-anak homeroomnya.
Jadi, apa-apa hal parents refer pada cikgu homeroom.
Dan cikgu inilah yang jadi fotografer setiap kali "anak-anaknya" terlibat dengan apa-apa program di maktab.
Be it program raya, stage performance, graduation, makan-makan, birthday celebration, hal exam, hal study -- semuanya cikgu homeroom.

Sebab tu mak bapak kurang risau sebab kita boleh contact cikgu yang menjaga, dan cikgu ini akan update mak bapak anak-anak jagaannya.
hat's why Redza dulu setiap tahun dapat buat birthday celebration sebab kita boleh berurusan dengan cikgu homeroom.
Kalau cikgu nak buat makan-makan for anak-anak homeroom, dia akan bagitau kat group homeroom (parents only) apa yang dia plan nak buat.
Selalunya cikgu dah tanya anak-anak homeroom nak makan apa.
Budak-budak ni pantang kau tanya.
Kau tanya nak makan apa, segala yang sedap-sedap je keluar.
KFC lah, spageti lah, pizza la.
Takde yang minta sekut merry.

Alhamdulillah, mak bapak (mak je sebenarnya) homeroom Redza sangatttt tak berkira.
Macam-macam dorang volunteer nak sponsor ikut selera anak-anak.
Ada yang bagi duit saja.
Terpulanglah pada cikgu nak beli apa sebab cikgu homeroom lebih banyak habiskan masa dengan anak-anak ni, berbanding kitorang parents.
Dia tahu apa anak-anak ni nak.
Lagipun kalau aku tanya anak aku tu "Redza nak makan apa, mama nak hantar ke sana" -- kau rasa kau pun tahu jawapannya apa, kan?
Jadi untuk tidak membuang masa, serahkan saja pada cikgu homeroom.

Aku masih kekal dalam group Homeroom ni. Tak keluar.
Biarlah, kenangan untuk aku selak-selak balik.
Group ni diwujudkan sejak Redza form 1 sampai budak-budak ni habis belajar.
Rindu pulak zaman-zaman ni buat surprise hantar makanan kat anak-anak.
Tak terbalas jasa kami kat cikgu homeroom ni.
Those yang anaknya dah ada di MRSM Langkawi, jangan risau.
Anak-anak berada di dalam jagaan yang baik.
Yang penting, MRSM ada sistem homeroom.
Kau senang nak tahu update anak-anak dari cikgu yang menjaga anak-anak ni.

Aku pun pernah ada pengalaman makanan takde siapa sentuh.
Dulu sekolah tak banyak buat program-program makan.
Kalau ada pun, Hari Guru.
On Hari Guru ramailah bawa makanan ke kelas. Aku pun bawa.
Tapi tulah, aku tak berani nak minta parents aku belikan macam-macam.
Cuma bagitau ada sambutan hari guru, cikgu kata sorang budak bawa satu makanan.
Pak Aji belikan aku biskut coklat yang balut warna merah.

Ni ha cokelatnya. Ntah halal ke tak ntah. Hahahaha.
Setiap Hari Guru aku bawa bendalah ni tau.
Kawan kelas kita kan sama je dari Darjah 1 sampai Darjah 6.
Dorang dah boleh tahu aku bawa apa, sebab tiap-tiap tahun benda yang sama je aku bawak.
Seganlah juga bawa benda yang sama, murah pulak tu.
Makanan aku jarang habis.
Memang selalunya tak habis.
Tapi untungnya, makanan aku individual pek macam, jadi ujung-ujung ada la juga budak-budak yang bawa balik.
Tapi selalunya aku lah bawa balik makanan sendiri. Tak habis.

Aku dulu, hanya makan siapa yang makan makanan aku.
Kalau kawan tu makan biskut ni, aku makan makanan dia.
Bukan merajuk, tapi sedar diri.
Taknaklah orang kata "Makanan orang yang sedap kau makan, tapi kau tak bawa makanan sedap".
Kelas aku ramai anak orang kaya, anak-anak pensyarah UKM, UPM.
Makanan dorang bawa sedap-sedap.
Actually takdelah gempak sangat makanan yang dorang bawa.
Bila aku can provide anak-anak aku makanan macam tu sekarang, barulah aku sedar bukannya makanan dorang gempak, tapi dulu keluarga aku tak mampu nak sediakan makanan mahal.

Darjah 6, aku teringin nak bawa kek.
Teringin nak rasa apa perasaannya bila orang berebut nak makan kek yang aku bawa.
Tahun 1989, kedai kek kat Bandar Baru Bangi ada satu je, iaitu kat Fasa 1, bersebelahan Klinik Ng.
Aku kat Fasa 3.
Nak menapak tu satu kegigihan, ya, sebab aku kena melangkaui 2 fasa sebelum tiba kat Fasa 1.
Kedai kek dah tahu, tapi nak beli kek takde duit pulak.
Aku pinjam duit Ima RM20.
Tak pasti apesal Ima ada duit tapi aku takde.
Maybe duit raya dia simpan.
Aku kata bagilah pinjam, nanti aku bayar balik.

Lepas balik sekolah, aku jalan berdua dengan Ima, bawa payung.
Jalan kaki dari Fasa 3 ke Fasa 1 berbekalan RM20.
Sampai kat kedai kek, pilih kek yang harganya cun-cun RM20.
Tahun 1989, kek RM18 pun ada tau. Size besar, ya.
Lepas bayar, balik.
Tapi aku tak balik terus kat rumah.
Mampus aku nak simpan kek ni kat mana karang.
Aku singgah rumah makcik aku kat Fasa 2.
Makcik aku ni adik Mak Aji.
Aku cakap aku nak tumpang fridge sebab esok takyah berat sangat bawa kek dari rumah.
Rumah aku kan Fasa 3.
Agak lojik juga alasan aku, kan? Hahaha.

Puas hatilah dapat bawa kek ke Hari Guru tahun tu.
Impress kawan-kawan aku tengok aku bawa kek ke sekolah.
Ada 3 orang bawa kek hari tu.
Happy tengok cikgu potong kek aku.
Kek aku habis. Happyyyyyyyyy!

Balik rumah, Mak Aji dah tunggu aku depan grill.
Masakkk.
Rupanya Ima bagitau Mak Aji aku pinjam duit dia buat beli kek. Bladihel.
Kena sesah aku hari tu.
Mak Aji cuma taknak aku berhutang untuk beli benda yang tak sepatutnya.
Dah takde tu buat cara takde katanya.
Tapi aku bayar balik duit Ima.
Cuma lama lah nak dapat bayar balik tu.
Kena tunggu duit raya tahun depan. Hahaha.

Bila aku cerita kat En Wan pasal ni, mesti aku menangis.
Bukan sedih sebab kena pukul, tapi sedih sebab aku pernah tak mampu nak bawa makanan lain selain coklet pembalut merah tu.
Padahal kek zaman tu RM20 je. Kek RM18 pun ada.
Itupun aku tak mampu nak bawa.
Bukannya setahun sekali tau. 5 tahun sekali pun tak mampu.
Dapat bawa di tahun ke-6, tu pun berhutang.

Sedih bila baca budak-budak bawa balik makanan yang tak bersentuh.
Senyum-senyum kelat je aku baca.
Teringat kisah yang sama.
You are not alone, nak.
Acik pun pernah lalui.
Hang on there. This too shall pass.