2023-02-23

Anak kita nak bersilat berkuntau, biar dalam rumah sendiri.


Post aku semalam memang salah langkah betullah.
Hujung post aku tulis pasal "anak memekak kat kedai" dah satu hal aku kena buat post pasal ni.
Ramai yang minta aku ulas. Kahkahkah.
Korang ni sebenarnya bukan nak baca sangat pasal ulasan tapi lebih kepada nak baca aku merempan, kan?
Sebab masing-masing tahu aku paling "memperjuangkan" isu anak-anak menggelinjang kat tempat orang ni. Betul tak?

Siapa yang follow blog post aku tahulah, isu ni aku "perjuangkan" setiap tahun, especially time raya.
Cuma 2 tahun yang lepas senyap sikit sebab tak buat open house.
Bukan serik, tapi masih tak konfiden dengan Covid.
Karang wujud pulak kluster open house rumah Diana.

Tentang anak si anu yang mengganggu ketenteraman orang awam nak makan tu, itu adalah perkara common sense yang patutnya semua orang boleh pikir.
Ada ke patut anak kita yang tak reti duduk diam dan bising, orang lain yang kena balik? Akai mana akai?

Aku menyampah bila orang tua yang dah sempurna akal masih lagi menggunakan alasan "Alah, biasalah budak-budak".
Budak mana?? Budak mana??
Anak kau je yang macam tu. Anak aku tak pun.
Tak payahlah nak pukul rata semua budak suka buat bising.
Yang benarnya, budak tak salah. Yang salah adalah mak bapak budak.
Pesen gitu lah. Yang bangsa "Budak-budak biasalah..".
Budak, kalau tak ditegur dorang takkan tahu apa yang dia buat adalah salah.
Kita yang dah dewasa ni yang patutnya boleh pikir sama ada anak kita buat benda betul ke tak.
Dah kalau orang keliling gelisah dan start buat muka annoying dengan kelaku anak kita, sebagai mak bapak tak rasa segan ke?

Selalunya mak bapak yang kata "Budak-budak biasalah..." adalah mak bapak yang sama claim "Anak-anak yang aktif adalah anak yang sihat".

PANGGGGG! *bagi pelempang*

Kau diam. Dengar sini aku cakap.

Aktif dan Buas adalah dua benda berbeza, ya.
Aktif tak semestinya berlari sana sini, masuk bawah meja, menjerit-jerit atas kerusi, ketuk-ketuk meja.
Ini bukan aktif, ini namanya BUAS.
Aktif tu tak semestinya bergerak banyak.

Budak yang duduk setempat main lego pun namanya aktif. Otaknya aktif membaca manual.
Tangannya pula aktif bergerak-gerak menyambung Lego.

Budak yang duduk dendiam mewarna, melukis -- ini pun namanya aktif.
Tangan bergerak-gerak mewarna, otak aktif mencari dan menyesuaikan warna.

Budak yang duduk kat meja makan diam-diam main online game pun namanya aktif.

Aktif tak semestinya berlari ke sana sini, terjerit-jerit, meloncat-loncat macam kena sampuk.
Yang aku pelik tu mak bapaknya helokkk bersembang macamkan yang tengah memekak ni bukan anak dia.
Dari pengalaman yang lepas-lepas, aku nampak satu pattern, iaitu hampir kesemua anak yang menggelinjang dalam rumah aku, yang keluar masuk bilik, yang siap gegar-gegarkan display kabinet -- mak bapaknya kuat bersembang.
Jenis bersembang tak ingat dunia.
Lantaklah anak tu nak keluar masuk rumah orang sampai ke dapur pun, bagi dia anak tu ada dalam rumah. Selamat.
Dia pikir selamat anak dia je.
Dia tak pikir barang-barang dalam rumah orang tu selamat ke tak.

Bila aku cakap macam ni karang adalah yang kata "Barang-barang tu tak bawa ke mati".
Ya, barang-barang memang tak bawa ke mati.
Tapi, menyakitkan hati tuan rumah, dosanya bawa ke mati tau.

Jenis mak bapak macam ni, dia pikir senang dia je.
Susah orang lain dia tak pikir.
Patutnya bila datang rumah orang, ajar anak jangan sentuh-sentuh barang orang, jangan bukak tutup almari orang, jangan naik ke atas masuk bilik orang, jangan masuk ke dapur orang.
Ini tak, dia pulak yang bukakkan fridge kita "Nak tengok apa. Hah tengok ni. Nak apa. Adik nak apa?"
Ewahhh, dia buat fridge kita macam fridge 7-11 pulak sesuka hati dia nak bukak tutup.

Yang dah nampak anak dia dok hentak-hentak keyboard Rayyan, bukannya dia marah anak dia.
Dia berdiri kat tepi keyboard tu je.
Jaga katanya. Kau tahu jaga apa?
Jaga supaya anak dia tak jatuh dari kerusi keyboard tu.
Dia pikir selamat anak dia je.
Padahal dia dah nampak ni anak dia menghentak-hentak keyboard anak aku.
Dia boleh berdiri je kat tepi macam topekong Siam tak buat apa.
Nak je aku sepak kaki kerusi tu biar anak dia tersembam.

Jenis ni kalau barang kau rosak dibuat dek anak dia, dialah yang terpaling laju menviralkan cerita konon tuan rumah marah anak dia, tuan rumah takde hati perut minta ganti rugi, tuan rumah zalim, bla bla bla.
Tak payahlah nak minta ganti rugi kat orang macam ni, memang takkan dapat punya.
Tapi kalau share hadis tuan rumah kena buat baik dengan tetamu, dialah paling laju share.
Bab dia salah dia simpan.

Kita ni kalau pergi rumah orang, sangguplah tak duduk lama.
Kejap-kejap menjeling cari anak.
Kalau nak sembang lama, mintak laki bawa anak main luar. Makan pun tak serentak.
Eh yang dia datang rumah kita, kemain sweet time lagi makan lepas satu, satu makanan dia ambil.
Aman betullah hidup dia.
Yang anak dia ni nak turun naik tangga masuk bilik aku.
Lepas tu tanya aku "Nampak anak I tak?"
Eh, anak kau kan. Kaulah patut cari.
Dah la aku jemput kau datang makan, anak kau pun aku kena tengokkan? Ewahhh.

Aku percaya, jenis yang tak kisah anak menggelinjang dalam rumah orang, inilah juga orangnya yang tak kisah anak memekak dalam restoran.
Selfish mak bapak jenis ni.
Dia hanya pikir orang kena faham dan consider dia sekeluarga.
Anak dia buas, orang kena faham. Biasalah, budak-budak.
Anak dia makan bersepah dalam rumah orang, orang kena faham. Biasalah, budak-budak.
Anak dia kesat tangan kat sofa, orang kena faham. Biasalah, budak-budak.
Tak, budak mana ni?? Cakap, budak mana?
Dia ingat anak aku keluar-keluar terus umur 17 tahun ke?
Anak aku pun pernah jadi budak. Tapi tak pun ghope perangai anak dia.

Anak kita nak bersilat berkuntau, biar dalam rumah sendiri.
Rumah kau nak terbalik tongkang pecah, silakan.
Tapi bila berada di luar, tak kira di rumah orang atau pun restoran, tolong ajar adab masuk tempat orang.
Jangan sombong bila barang pecah "Aku boleh gantilah!".
Ini bukan soal ganti, bingai.
Kau tak tau apa kenangan yang datang dengan barang yang pecah tu.
Entahkan pasu peninggalan arwah mak dia ke, entahkan hadiah dari kawan baik ke.
Ada kau pikir pasal ni? Tak, kan? Sebab kau selfish.
Tak peliklah kalau anak-anak dia esok membesar dengan mindset macam tu, sebab mak bapaknya pun takde otak.