2022-01-11

Pakai spek besar pun takde hal.

Sabtu lepas, Redza balik ke Langkawi semula.
Rezeki Allah, 2 tahun terakhir dia di sana, dia lebih banyak habiskan masa di rumah dengan kitorang.
Walaupun beliau sejenis ada ke, takde ke, rumah tu macam takde beza, but at least aku tahu keberadaan dia kat rumah tu.

Redza ni sejenis suka memerap dalam bilik.
Bak kata En Wan, Redza ni sebijik sebijon macam aku.
Boleh hidup sehari suntuk dalam bilik tak keluar.
Silap-silap esok jiran terlupa aku ada anak bujang sebab tak pernah nampak kelibat.
Dulu sebelum Covid, ada lah juga dia keluar jogging atau join budak-budak main futsal.
Sejak Covid, harammmm.
Toksah kata dia, dengan aku-aku sekali malas keluar.

Tapi memang tak sangka 2 tahun terakhir di sana, kitorang dapat banyak masa dengan dia di rumah.
Siapa sangka, kan? Alhamdulillah.
Tapi tulah, walaupun dia ada kat rumah, tak banyak yang aku boleh cerita pasal dia.
Dak Redza ni banyak nau peminat di kalangan acik-acik follower IG.
Asyik minta update Redza manjang.

"Kak Di, gambar budazah takde ke?"

"Kak Di, ceritalah pasal Redza".


Redza ni pendiam. Dia dari kecik tak seperamah Rayyan.
Rayyan ni, ko tak payah tanya dia soalan, dia yang akan tanya kau macam-macam sampai kau fedap.
Kalau Redza ni jenis senyap. Sesekali je dia bersembang.

Life Redza di rumah boleh dikatakan sangat rutin.
Dia turun breakfast selepas Zohor.
Dia ada kelas pun dia turun bawah pukul lepas Zohor. Takde kelas pun, tetap turun lepas Zohor.
Paling awal pun 12 noon.
Itupun dia turun ambil air kotak susu dan naik atas balik.
Kalau aku ada kat bawah, nanti dia tegur "Ma..."

Aku akan tanya "Nak makan? Papa ada beli nasi lemak pagi tadi".

"Nantilah".

Pastu dia bukak fridge, ambil air kotak, dan "Redza naik atas dulu, Ma".

Sekian sahajalah persembangan kami sesi pertama.

Around 3pm dia turun untuk makan nasi lemak bapak dia beli pagi tadi.
Kalau dia taknak makan sarapan bapak dia beli, dia akan makan masakan lunch aku buat.
Selalunya kali kedua dia turun ni aku takde kat bawah.
Samada aku di bilik buat kerja, atau aku masuk ofis.
Pandai-pandai kaulah cari makanan.

Kalau aku balik dari kerja, kadang-kadang dia ada di hall, atas sofa, samada tengah baring baca buku atau baring layan henfon.
Masa ni bermulalah sembang sesi ke-2.

"Ma.." (dia tegur aku masa aku masuk rumah).

"Redza, dah makan?"

"Dah.."

"Adik mana?"

"Kat bilik".


Kau nampak tak, sepatah sepetah je dia bercakap.
Kalau aku mak aku balik keje, panjang jawapan aku.

"Kau sapu rumah tak?"

"Sapu. Hall sapu, dapur sapu, porch sapu, laman pun sapu dah. Atas je tak sapu sebab semalam dah sapu, esoklah pulak."

Kau nampak tak cara aku jawab?
Bukan saja padat malah berani pulak minta diskaun bilik atas sapu besok. Kahkahkah.

Dan Redza ni suka duduk dalam gelap.
Kalau ada lampu, dia hanya bukak side table lamp saja.
Dia suka keadaan yang dim dim gitu.
Aku sampai je rumah rimas tengok rumah malap, terus PAPPP tekan suis.
5 minit lepas tu nanti Redza naik bilik. Hahahah.

Malam pun macam tu juga, dia tak boleh makan awal.
Maybe sebab dia dah makan lewat petang.
Kalau dia nak dinner, dia makan around 10pm.
Kalau tak, dia tak dinner lansung.
Aku tak tahulah dia ni kategori senang dijaga atau apa.

Makan memang takde masalah. Dia boleh buat sendiri.
Masak apa pun boleh makan.
Oh tapi Redza tak makan udang and daging merah.
Bawak dia pi Dolly Dimsum pun cari nasi goreng sebab dim sum mostly isi udang.

Hari tu sebelum balik ke sana dia minta nak beli new spec.
Aku tanya spec yang sekarang ni tak ok ke?

"Ok, tapi Redza ingat nak buat yang baru untuk belajar. Yang pakai sekarang ni boleh buat untuk sport".

Wow!! Begitu, ya anak-anak sekarang.
Ada spek mata untuk belajar dan sport.
Aku dulu itulah spek blaja, spek mengaji, spek jalan, spek bersenam, semuanya all in one.
Sampai dah senget bingkai pun aku lenjan.
Konsepnya asal kanta tak terkeluar dari bingkai, masih boleh dipakai.
Aku cakap dengan En Wan kalau dulu aku mintak nak spek baru sebab saja-saja nak ada 2, konfem aku tido porch malam tu.

Aku start pakai spek umur 12 tahun, Darjah 6.
Tapi, mata aku ni dah start rabun masa umur 10 tahun, cuma masa tu tak tahu itu adalah petanda rabun.
Aku always minta tempat duduk depan supaya nampak black board.
Darjah 5 masa KKM datang skolah untuk check gigi and mata, nurse memang dah kata aku kena pakai spek tapi aku tak berani nak bagitau Mak Aji.
Karang kena marah. Aku buat diam je.

Until Darjah 6, aku kena marah dengan nurse sebab dia ingat aku mengada-ngada nak pakai spek bila check mata baris ke-3 aku dah tak boleh baca.
That's how teruknya mata aku waktu tu.
Aku cakap aku memang tak nampak.
Nurse tulis surat (something macam form) untuk bagi kat parents.
Mak Aji baca surat tu, aku yang kena marah (seperti dijangka).

"Banyak sangat tengok TV, mata jadi teruk. Lain kali tengok lagi depan-depan biar termasuk terus dalam TV tu!"

Walhal, punca aku tengok TV dekat-dekat sebab dah tak nampak sejak umur 10 tahun lagi.
Nak tak nak, kena buat spek.
Aku cakap kat En Wan, itulah bezanya bila kita bukan dari orang berduit.
Orang tak berduit ni kalau boleh jangan sakit dan jangan ada penyakit.
Kalau tak, nanti bawa masalah.
Masalahnya duitlah.
Bila mata dah rabun, nak kena buat spek semua tu kena pakai duit.
Tu pasal aku kena marah.
Elok-elok duit boleh buat benda lain dah kena buat spek aku.

Disebabkan aku tahu aku tak berduit, aku pakai spek yang sama sampai Form 2.
Dari Darjah 6 sampai Form 2 selama 3 tahun tu aku pakai bingkai dan kanta yang sama.
Bingkai tu sampai dah terkangkang sebab kepala dah besar.
Bingkai spek tu dari depan nampak kecik sangat berbanding muka.
Tu yang aku selalu kena ejek tu.

Form 3 aku tak tahan dah pakai spek yang dah lunyai, aku minta untuk tukar.
Nasib baik dapat.
Kali ni aku beli yang besar terus.
Dia punya besar tu, bingkai tu cecah ke pipi aku. Hahahaha.

Nampak tu? Aku tak tipu punya. Aku cakap betul.
Gitulah besornya spek aku.
Walaupun aku tahu kelakar pakai besar, tapi dalam kepala aku satu je aku pikir - supaya kekal lebih lama.
Kalau kepala atau muka aku membesar nanti tak payahlah aku asyik nak tukar je.

Last spek aku tukar masa aku matrik.
Masa dah ada duit MARA u olsss. Dapatlah beli yang stylo sikit.
Aku pakai bingkai besi pulak. Saja nak bagi nampak bijak sikit.
Itulah spek terakhir sebelum aku bertukar pakai contact lense tahun 1997.

Dah 25 tahun pakai contact lens.
Belum ada cara-cara nak buat LASIK sebab rasa macam tak perlu.
En Wan banyak kali ajak aku pi check "Meh la, abang belanja".

Dia sebenarnya bukan apa, bila dah terbiasa berlebih-kurang dengan banyak hal, semua benda pun aku jadi macam "Alah, takpelah".
Ini bukan soal siapa nak belanja.
Kau rasa someone yang willing pakai spek bingkainya dah terkangkang dan sengaja pilih bingkai besar sampai ke pipi kisah ke nak buat lasik? Ahgitu.