2021-01-26

Drill anak-anak style Mak Aji


Post semalam ramai berminat nak tahu macamana Mak Aji train anak-anak beliau seawal umur 9 tahun dah boleh harap menggosok baju kerja mak bapak untuk seminggu.
Sebenarnya, aku tak tahu mana datang tawakkal Mak Aji.
Aku nak bagi En Wan gosokkan tudung aku pun tak yakin, lagikan bagi budak 9 tahun buat.
Tapi boleh juga Mak Aji dulu tak ada pilihan.
Nak buat semua kerja sendiri boleh bengkok badan, jadi nak tak nak terpaksa la harap anak umur 9 tahun (yakni aku) menggosok baju-baju kerja dia.
Masalahnya, aku ni budak kecik tapi expectation dorang terhadap hasil menggosok tu macamkan aku dah ada pengalaman kerja kat dobi.
Baju mesti licin selicinnya!
Baju kemeja zaman dulu manalah jenis kain licin macam sekarang.
Jenuh aku menekan iron tu nak bagi licin.
Kalau kena gosok baju kurung batik sutera tu lagilah hazab.
Dulu mana ada spray nak melembutkan kain.
Semua harap kat kederat tangan semata.
Maka jenuhlah menggosok nak bagi licin.
Sampai aku berikrar esok besar aku takkan beli baju yang menyusahkan aku nak menggosok.

Rutin aku menggosok ni on weekend je.
Selalunya aku buat hari Sabtu.
Kadang-kadang sambil tengok Hindustan pukul 2pm sambil menggosok.
Iron board takde wei, gosok atas lantai okeh?
Bentang sejadah, atas sejadah tu bentang kain sapra pastu alas lagi dengan kain pelekat.
Barulah sedap menggosok.
Kau bayangkan aku menggosok baju kerja mak bapak dan baju skolah adik-adik stok seminggu atas simen?
Melekat bijik aku kat lantai.

Sebelum menggosok tu check dulu baju dalam bakul, asingkan ikut priority.
Baju-baju kurung batik Mak Aji aku asingkan dulu, basahkan dengan air sikit pastu masukkan dalam plastik, sumbat dalam peti sejuk.
Itu petua zaman dulu nak bagi senang gosok.
Idok le senang mana, tapi kuranglah sikit hazabnya.
Mula-mula start gosok seluar kerja Pak Aji, then kemeja.
Kena pandai matchkan kemeja dengan seluar.
Nanti Pak Aji nak pakai tinggal tarik keluar baju dah siap ada seluar yang matching kat dalam tu.
Boleh nampak tak skill menatarias tu dah diasah dari kecik?

Lepas settle baju Pak Aji, gosok baju-baju sekolah pulak.
Baju Mak Aji last sebab baju dia susah. Lagipun dia cewewet 😆.
Bak kata anak Che Ta “mak kita cewewet”.
Baju kurung Mak Aji tak susah mana tapi seram.
Sebab bila turn baju dia, tetiba dia ada sebelah aku memandor aku menggosok.
Camne aku tak gelabah.
Pegi la kopek ikan bilis ke apa ke.
Nak jugak diri tepi aku.
Dah kosong bakul baju, barulah gosok baju batik dia yang dalam peti sejuk tadi.
Baju-baju yang hazab kena gosok paling last supaya tak kacau mood aku.

Selalunya 3-4 jam settle dah kerja-kerja menggosok.
Seingat aku, hari Sabtu kerja-kerja aku hanyalah mengemas kawasan jajahan seperti biasa, and menggosok.
Lepas settle gosok, kerja aku pun habis. Boleh lepak-lepak.
Kalau tetiba ada plan nak balik kampung hari Sabtu, maknanya kerja menggosok kena start awal, pukul 11am dah kena start.

Percaya tak kalau aku cakap aku tak pernah berpeluang nak bangkit lambat hari Ahad?
Orang lain sedap bergolek hujung minggu, aku tak.
Hari Ahad, Mak Aji and Pak Aji keluar awal ke pasar Kajang.
Sebelum dorang balik, rumah dah kena settle bersih, boleh?
Dorang balik around 10-10.30am.
Maknanya by 10.30am rumah dah siap sapu, dan siap mop, baju dah sidai, porch dan sental, laman dah bebas dedaun kering.
Itu belah bawah sebab jajahan aku.
Ima settlekan tingkat atas.

Disebabkan Ima nak kena bersihkan semua bilik, maka Ibal pun kena kerah bangun awal.
Jadi, tiada sorang pun dapat bangun lambat hujung minggu.
Dia macam domino effect tau.
Disebabkan satu benda ni kena settle cepat, maka semua terbabit sama.
Kalau jajahan atas tak cukup bersih, aku yang takde kena-mengena dengan jajahan atas tetappppp kena libas.
Gitu domino effectnya.

Mak Aji balik dari pasar, aku start tolong dia simpankan barang-barang pasar.
Masa aku skolah rendah, belum kena siang-siang ikan and basuh ayam ni semua.
Hanya simpan bawang, simpan sayur, kopek ikan bilis siap-siap simpan dalam balang.
Bab ikan bilis ni ko jangan sampai dia jumpa yang tak berkopek ya. Siap kau kena.
Ikan bilis harus berkopek (tapi tak beli yang dah siap kopek sebab mahal).
Setiap kali Mak Aji nak pakai ikan bilis kalau yang berkopek dah habis, memang bergegarlah satu tanah.
Jadi, sebelum paksi bumi beralih, setiap kali dia beli ikan bilis, aku kopekkan
siap-siap.
Umur sekolah rendah, aku tak tolong masak.
Just tolong potong-potong bawang and basuh kuali periuk.
Walau macamanapun jangan berani-berani nak bersantai kat hall, ya.
Kau kena duduk dapur tengok dia masak.
Kalau kau berganjak ke hall, konfem kau akan dengar seakan-akan suara mak si Pekan memanggil Batu Belah Batu Bertangkup.
Tapi versi ugutanlah - “Kita ni macam nak mati tonggang-terbalik masak kat dapur, dia boleh baca sokabar kat depan”.
Padahal aku baru je capai sokabar tu.
Kalau dah masuk bab mati ni, aku surrender.
Masak pun boleh mati tau.
Aku yang dari pagi menyapu, menyental, siap mengemop bagai, pengsan pun tak.

Kalau bab makan, weekdays makan sekeluarga hanya waktu malam.
Pagi, Pak Aji keluar awal, 6.30am dah keluar.
Memang tak sempat nak breakfast sama.
Selalunya dia breakfast berdua dengan Mak Aji kat dapur.
Tapi, aku kena jumpa bapak aku sebelum dia turun ke dapur, walaupun belum mandi lagi.
Jumpa untuk salam sebelum Pak Aji gi kerja.
Lunch memang mak bapak aku takde kat rumah.
Pandai-pandailah makan sendiri.
Tapi dinner mesti sekeluarga.
Dan semua orang tak boleh senduk lauk selagi Pak Aji tak ambil lauk dulu.

Itu yang masih dipraktikkan sampai sekarang.
Tapi sejak dah tua ni, kalau balik Bangi, Pak Aji suruh kitorang makan dulu takyah tunggu dia sebab dia balik lambat dari surau (before Covid-19).
Tapi kalau dapat makan semeja, apa-apa pun Pak Aji kena ambil lauk dulu baru anak-anak ambik.
Bab kemas meja lepas makan - Ima.
Aku handle mencuci pinggan mangkuk.
Rutin ni kekal sampai aku dah umur nak masuk 44 tahun ni.
Everytime berkumpul memang tau dah role masing-masing.
Now dah ada CT, CT pun join mengambil tugas.

Aku start belajar siang barang-barang pasar pada usia 13 tahun.
Kisahnya agak ‘tragis’.
Ceritanya, kan aku quit dari TKC.
Lama gak aku bertahan kat TKC tu, dalam 6-7 bulan.
Bila aku quit, Mak Aji sangat frust.
Aku faham kekecewaan dia.
Mak bapak aku kerja biasa-biasa je.
Orang yang keje biasa-biasa ni, kalau anaknya excel in academic, orang keliling mudah kagum.
Bila anak dapat skolah terbaik, of course parents aku seronok.

Zaman dulu bukan macam sekarang.
Zaman sekarang resources bersepah.
Ramai budak pandai sekarang ni.
Zaman 80s dulu, belum ada pusat tusyen, belum ada trend sogok anak dengan macam-macam jenis buku latihan.
Apa yang cikgu bagi kat skolah, itu jelah sumbernya.
Nak pulak macam aku yang takde luxury untuk dapat buku latihan-latihan extra.
Latih tubi soalan-soalan dalam buku teks je.
Jadi bila result UPSR keluar, dia punya kecoh tu dah serupa macam result SPM keluar.
Nak pulak bila anak kerani UKM dapat masuk TKC, kau rasa kecoh kat UKM tu?
Glemer kejap Mak Aji.
Malangnya, anak beliau buat hal taknak sekolah situ.
Ngamukla dia kan.

Dek kerana kecewa sangat aku quit, Mak Aji tak kasi Pak Aji daftarkan aku kat mana-mana sekolah.
Dia suruh aku duduk rumah jadi orang gaji.
Haaaa. Kering kan hati beliau? 😆.
Dia kata nak sangat keluar TKC, biar berhenti skolah terus.
From A to Z aku kena buat kerja kat rumah.
Mak Aji lepaskan 100% urusan rumah kat aku. Orang gaji katakan.
Aku pulak jenis hati kering, orang bagi impossible task untuk aku, aku buat sampai jadi! Hahahaha.

Aku belajar siang ikan sendiri.
Siang udang. Siang sotong. Basuh ayam dengan garam and tepung.
Simpan cantik-cantik dalam bekas tupperware.
Kan selama ni kena kerah duduk dapur time dia masak, so aku observe semua tu walau tak buat.
Lepas siang segala benda, aku memasak pulak.
Masak konsep 'asal jadi lauk Take it or leave it. Ahgitewwwww 😆.

Dua minggu aku tak bersekolah.
Satu malam Pak Aji tanya “Apa perancangan Diana sekarang?”.
Aku macam...laaaa. Nak suruh aku kerja kilang ke apa umur baru 13.
Aku bagitau aku nak sekolah tapi aku taknak masuk sekolah asrama sampai bila-bila.
Itu memang bukan pilihan aku sejak dari awal.
Masa dapat tawaran TKC aku tak excited sangat pun.
Masa tu aku tak nampak apa yang parents aku nampak.
Hidup kitorang tak mewah mana.
Pada pandangan parents aku, kalau aku di sekolah asrama, masa depan lebih cerah, ada bimbingan cikgu hebat, jadual teratur, makan cukup, berkawan dengan kawan-kawan yang ada vision.
Gitulah agaknya pandangan parents aku.
Tapi aku taknak. Aku yakin aku boleh belajar kat mana-mana pun.
Lepas explain lebih kurang kat Pak Aji, dia daftarkan aku balik ke sekolah harian dekat dengan rumah.
Maka aku kembali ke sekolah.

Tapi, walaupun dah sekolah, jajahan tetap kena jaga.
Balik dari sekolah, makan.
Lepas makan, basuh baju, sidai, sapu rumah, lipat kain, susun kain, sapu laman - tau-tau dah petang.
Homework tak sentuh lagi ni.
Petang karang Mak Aji balik dah nak kena tolong dia masak kat dapur pulak.
Pukul 6pm aku kena standby depan tv tengok cerita cina.
Ini takleh kacau ya. Ini “me time” aku.
Malam lepas dinner barulah boleh buat homework and study.

Masa aku Form 3, Ima dapat masuk asrama kat SMSAH Jitra.
Maka aku kena ambil alih jajahan Ima.
Atas bawah aku kena kemas everyday.
By the time settle kemas 2 jajahan, aku dah lembik. Letih.
Mana nak buat homework lagi, mana nak study lagi.
Tapi tu la kan, maybe berkat doa ibubapa dan mendahulukan urusan mak bapak, ke university jugak aku akhirnnya.
Siap boleh berjumpa balik kat U dengan dormmate aku kat TKC dulu. Alahai keciknya dunia.
Masa dah ke U, terbayang-bayang siapa lipat baju kat rumah, siapa gosok baju kerja kat rumah, siapa tolong mop rumah.
Sebak je. Rasa nak berhenti belajar pun ada.
Nak duduk tolong kemas rumah je.

Now, Mak Aji Pak Aji dah pencen, tak payah gosok baju kerja.
Gosok baju melayu nak pi surau je.
Rumah pun dah pakai weekly bibik.
Nak masak beria, siapa pun yang ada kat rumah tu sekarang.
Ibal and CT kerja.
Tu yang kerap mak bapak aku dating berdua.
Kejap kat mamak, kejap kat cafe tu, kejap kat cafe ni.
Dululah, before Covid-19.

Sejujurnya, aku tak boleh buat macam Mak Aji buat.
Dia train anak-anak dia tanpa ada rasa “Anak aku ni kecik lagi. Let kids be kids”. Nan hado!
Konsepnya, aku suruh, kau buat. Buat sampai jadi.
Jangankan menyapu rumah, umur 8 tahun bapak aku dah tinggalkan cat yang dah siap bancuh pagi-pagi - “Ni papa dah siap bancuh cat ni, nanti Diana cat pagar depan sampai habis”.
And that happened during puasa, ok?
Umur 8 tahun aku sekolah petang, jadi waktu pagi tu kononnya masih bertenaga la sebab baru lepas sahur so larat lagi kalau nak suruh anak mengecat rumah.
By the time habis mengecat, nak pi skolah aku dah lembik kehausan.
Tapi tetapppp pergi sekolah. Berani kau nak ponteng?

Tak sure lah kita sekarang gamak tak train anak-anak kita macam tu.
Aku agak, dulu tu sebab dorang takde pilihan.
Kalau ada duit, tentu dorang upah tukang cat.
Kalau ada duit, tentu dorang ambil orang gaji.
Kalau ada duit, tentu dorang ambil home tutor.
Sekarang kita ada pilihan, sebab tu parents spend untuk perkara yang memudahkan anak-anak agar anak hidup lebih selesa, sesuai dengan zaman dorang.
Agaknya kalau aku takde pilihan, nescaya aku drill anak-anak aku macam Mak Aji buat dulu.