2019-08-08

Kenal sifat


Memahami sifat-sifat Allah itu wajib untuk kita ambil tahu.
Kerana salah satu punca hati tak tenang adalah kita tak kenal Allah.
Bila kita kenal dan faham sifat-sifat, insyallah kita akan jadi faham dan yakin.
Memahami sifat Allah beri pengaruh besar dalam kehidupan kita.
Kerana percakapannya dan perbuatannya akan terbimbing dengan memahami dan melaksanakan apa yang terkandung dalam nama dan sifat Allah tadi.

Serupalah kalau kita tahu yang bakal suami kita orangnya berkerjaya bagus, bertanggungjawab, solat tak culas, hormat orang tua, loving, rupa pun helok, maka kita jadi tenang.
Berbeza kalau kita tak tahu siapa gerangannya bakal suami kita, hati tu rasa gelisah sikit sebab kita tak kenal bagaimana orangnya.
Begitulah kalau kita tak kenal Allah, maka kita akan selalu rasa gelisah.

Masa aku belajar kupasan sifat Allah [Asma ul Husna], satu sifat Allah explanationnya sampai 3 kali kelas.
Itupun kadang-kadang terbabas juga hati ni, adakalanya datang rasa gelisah dan tak yakin.
Tapi bila ingat-ingatkan balik ilmu yang dah blaja, slowly datang balik rasa tenang.

Apa saja yang kita lalui dalam hidup, kembalikan kepada sifat Allah.

Contohnya, kalau kita faham bahawa Allah itu Ar-Razzaq [Maha Memberi], insyallah kita tenang kerana kita faham satu-satunya yang mampu bagi rezeki adalah DIA.
Kalaulah semua manusia kenal sifat ini, tak akan ada dengki khianat dengan rezeki orang lain.
Ramai orang cemburukan rezeki orang lain kerana dia sangka rezeki adalah sesuatu yang mesti dicari, padahal rezeki adalah sesuatu yang sudah ditetapkan Allah.

Rezeki tetap akan datang samada dicari atau tak.

"Kalau macam tu tak payah lah kerja, nanti rezeki tu datang"

Bukan macam tu.

Yang Allah sediakan adalah rezeki.
Tapi mencari rezeki adalah perintah Allah kerana usaha adalah ibadah.
Ibadah itu yang kita kena buat.
That's why Allah menilai usaha, bukan hasil.
Usaha kita mencari rezeki itu yang Allah pandang, bukan berapa banyak kita dapat.
Banyak atau sikit, berjaya atau tidak, bukan itu yang Allah pandang sebab DIA tahu dah pada siapa DIA bagi tapi yang dilihat adalah apa ikhtiar kita dan samada ikhtiar itu mengikut jalan yang DIA redha.
Kerana mencari rezeki dengan cara yang Allah redha merupakan perbuatan keramat di sisi Allah.

Ada satu cerita tentang Imam Malik.
Dia pergi berdagang [kalau tak salah aku lah], on the way dia berhenti rehat.
Dia bukak bekalan makanan dia and susun kat depan.
Elok je datang kucing berlenggang ambik sepotong daging and dengan santai berlalu pergi.

Terkesima kejap Imam Malik.
Dia terpikir, apesal kucing ni santai sangat ambil makanan dia?
Kucing kalau rembat makanan orang mana berani jalan bertenang-tenang gitu, kan.
So Imam Malik follow that kucing.

Dia nampak kucing tu jatuhkan that daging ke dalam lubang tepi batu.
Bila Imam Malik jenguk dalam lubang rupanya ada ular buta.
Kalaulah bukan kucing tu yang bawa makanan, dah tentu ular tu mati kelaparan.

Kisah ini membuktikan sememangnya rezeki sudah dijamin Allah.
Apa-apa yang melata atas bumi Allah dah jamin rezekinya.
Cuma itulah, manusia yang selalu risau tentang rezeki.
Tak cukup dengan risau, dia berdengki pula dengan rezeki orang lain.
Tu belum lagi dengan perangai yang sanggup buat benda jahat untuk dapatkan rezeki.

Sungguh perihal rezeki ni boleh ubah manusia.
Berubah perbuatannya.
Berubah percakapan.
Ada yang boleh berubah akidah pun!
Sanggup ni jumpa tok bomoh, tok pawang, segala tok demi nak ada kelansungan rezeki.

Ada juga manusia yang depan orang ramai dia macam wali Allah, bukan main helok perangai, soleh sangat nampaknya tapi bila takde orang dia jadi wali setan.
Banyak dah cerita-cerita macam ni kita dengar.
Orang-orang macam ni dia tak kenal sifat Allah - Ar-Raqib iaitu Maha Mengawasi.

Contoh, kalau kita letak CCTV kat rumah untuk awasi bibik dan bibik tu tahu ada CCTV di rumah, mustahil dia nak malas-malas kerja, betul tak?
Dia akan jadi beringat bahawa dia sedang diperhatikan.

Sebenarnya kalau kita semua faham bahawa Allah itu sedang mengawasi, maka kita dengan sendirinya termotivasi untuk jadi baik dan buat baik kerana kita tahu ada yang memerhati.

Begitulah juga kalau kita kenal bahawa Allah itu Al-Bashir, kita jadi tak kisah bila ada yang sedang mengata, memburuk-burukkan atau menghina kita.
Kerana kita tahu bahawa Allah melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut.
Jadi tenang-tenang sajalah kalau kita dikutuk atau difitnah - diamkan diri sajalah.
Kalau ada yang tanya, jawab.
Kalau tak ada yang tanya, tak payah susah-susah nak clarify itu ini.
Yakin saja bahawa perbuatan kita akan dihitung Allah, perbuatan dia juga akan dipertanggungjawabkan nanti depan Allah.

Hidup ini adalah ibadah, bukan menurutkan perasaan.
Kalau kita dibenci orang, alhamdulillah, bermakna itu peluang kita berdoa pada Allah.
Kalau kita disenangi orang, alhamdulillah, bermakna kita beroleh kebaikan.
Walaupun kita sorang saja yang percaya bahawa kita di pihak yang betul manakala yang lain tak, pun tak apa.

Ada sorang nabi namanya Nabi Syamun.
Ini satu-satunya nabi yang tak ada pengikut, sampaikan dia mati pun sorang.
Yang kebumikan dia cuma sorang je.

Ada lagi contoh paling terkenal - Nabi Ibrahim.
Nabi Ibrahim ni 'bapa' kita.
Masa dia dibakar, takde sorang yang tolong, yang menghulurkan kayu untuk menyemarakkan api memang ramai.
Ada sorang perempuan tua di zaman tu duduk nun kat pendalaman, buta pulak tu.
Bila dengar Nabi Ibrahim nak dibakar, bukan main sedih lagi dia.
Bukannya sedih sebab Ibrahim kena bakar tapi sedih sebab tak dapat sumbangkan kayu!
Tapi Nabi Ibrahim cool-cool je sebab dia tau berseorangan menghadapi kebenaran bukan untuk mendapatkan simpati manusia.

Memang contoh-contoh yang aku bagi ni tentang nabi-nabi.
Mana sama iman nabi nak dibandingkan dengan kita, kan.
Tapi setidak-tidaknya kehidupan kita sekarang jauh lebih baik dari zaman tu.
Dengan limpahan rezeki yang banyak sekarang, sepatutnya menjadikan keyakinan kita pada sifat Allah semakin kuat.

Betullah kata ustaz, bukan semua anugerah menjadi nikmat.
Kita ni dinugerahkan hidup selesa, negara aman, badan sihat, ada kerjaya, belajar tinggi-tinggi, rupanya tak menjadikan kita semakin mengenal Allah.
Maka bolehkah itu dikatakan nikmat, atau musibah?