Pages

2016-09-20

Salam kaut. Wajar ke tak wajar?


Aku ada terbaca artikel tentang salam kaut.

Sebenarnya trend salam kaut ni dah lama dah.
Dari zaman mak aku kawen lagi.
Cuma orang kampung dulu tak ramai yang hulur duit, tapi masing-masing bawak beras dari rumah.


Bakul sia (imej dari gugel)

Kalau orang Melaka nak pi rumah orang kawen memang bawak bakul sia ni.
Dulu kecik-kecik aku selalu lepak kampung, jadi everytime ada kenduri kawen aku akan follow arwah nenek aku. Nenek akan isi beras dalam bakul ni untuk bawak ke rumah orang kawen tu. Mula-mula aku tak tau yang dalam bakul ni isi beras. Aku dok ingatkan bakul ni untuk isi lauk barkat and telur orang kawen bagi kejap lagi (ye lah dulu kan mana ada goodie bag). Bila aku nampak nenek aku curah beras dalam ni, aku tanya dia kenapa nak kena bubuh beras.

Nenek cakap memang style orang sini (kampung tu) kalau pi kenduri, tetamu kena bawak beras.

Lagi satu istilah 'bertanam' (tak salah aku lah).

'Bertanam' ni contohnya, aku kawenkan anak.
Kau sponsor 100 biji telur.
Nanti esok kau kawenkan anak, aku kena balas jugak, selalunya benda yang sama.
Maknanya aku kena bagi 100 biji telur jugak.
Nenek aku cakap, kalau bertanam ni, dorang siap tulis buku tau, sebagai reminder esok lusa kalau aku kawenkan anak, aku akan ingatkan kau yang kau kena balas balik apa yang aku 'tanam' ni.
Aku syak buku hutang 555 tu wujud sebab bertanam ni agaknya.

Salam kaut ni lebih kurang sama je lah macam konsepnya bakul sia tu.
Cuma lebih ringkas kalau hulur je duit.
Kadang tu nak beli hadiah tak sempat, hulur je lah senang cerita.

Persoalannya wajar atau tak?

Ada yang kata, "Bukan ke kau yang jemput datang, kenapa nak kena hulur duit pulak?"

"Takkan aku bagi RM10 pun marah? Tu pun mujur aku bagi".

"Orang sekarang buat kenduri tak pakai musim sekolah. Tiap-tiap minggu ada je jemputan kawen. Kalau dah sehari sampai 3-4 biji rumah, tak ke bankrup semuanya nak menghulur. Gaji dah lah sikit. Kalau nak harap orang hulur duit, tak payahlah jemput!"

Wah, gitu. Marah nampak?

Oklah, takyah guna contoh salam kaut kenduri.
Kita guna contoh pi birthday party.

Kalau kawan kita jemput datang rumah dia sempena birthday party anak, agak-agak sedap tak rasa datang berlenggang je?
Kalau dia tak bagitau takpe. Ni dia dah bagitau itu birthday party. 
Dia tak suruh pun bawak hadiah.
Tapi kita sebagai orang yang dah dijemput dan dah dimaklumkan yang jemputan tu adalah birthday party, tanya balik diri kita wajar ke tak wajar kita datang berlenggang?

Sama macam kita ziarah orang sakit.
Boleh je nak datang ziarah macam tu je. Dia pun bukan suruh kau datang bawak macam-macam.
Tapi kalau datang bawak sesuatu dengan niat nak menggembirakan orang yang diziarahi, bukan ke tu lebih baik. Kadang-kadang kita bawak makanan kita tau bukan orang sakit tu boleh makan, tapi keluarga yang menjaga si sakit tu tadi boleh je makan. Apa salahnya.
Mesti yang menjaga tu happy. Rasa hilang letih menjaga orang sakit bila ada orang ziarah bawak buah tangan. Kan ke seronok dapat happy-kan orang.

Aku pernah datang melawat orang kat spital tak sempat nak beli buah tangan, pastu kebetulan kat parking ada makcik-makcik jaja keropok, aku beli je keropok tu. Janji aku bawak something. Rupanya yang menjaga orang sakit kat atas tu memang tengah lapar sebab tunggu turn orang lain jaga tapi orangnya tak muncul-muncul. Kan ke happy dapat buat macam tu?

Ada setengah orang, disebabkan dia sedar yang dalam ramai-ramai tu dia sorang je yang tak bawak hadiah, maka dia terasa diri. Padahal orang lain tak cakap apa pun. Tapi dia malu sendiri. Bila dah malu sendiri mulalah bangkitkan isu wajar ke tetamu bawak hadiah, wajar ke tetamu hulur duit, ini semua ikutan budaya kaum lain, bla bla bla bla....eh nak sentap pulak.

Sebenarnya kita sendiri yang create beban, bukan orang lain.
Kita sendiri yang menyusahkan diri sendiri nak beli hadiah yang best-best, nak bagi duit banyak, sebab nak jaga air muka. 
Nanti pengantin bukak hadiah, kita bagi dia mug 2 ketul je rupanya. Malu.
Kita sebenarnya nak orang nampak kita best bagi hadiah paling besar. Betul tak?
Kita yang pilih nak menyusahkan diri.

Sebenarnya kebanyakkan tuan rumah tak kisah pun kau datang bawak hadiah ke tak, bawak duit ke tak.

Aku tetiap tahun buat open house aku tau lah apa perasaan seorang tuan rumah.
Tuan rumah tak sempat kisah kau hulur ke tak hulur. 
Sebagai tuan rumah, dia sebenarnya lebih risau kalau majlis dia takde orang datang. 
Sape nanti yang nak perabiskan makanan ni semua.
Itu jauh lebih merisaukan banding kau hulur duit ke tak. 
Apetah lagi nak kelebet isi sampul tu berapa banyak kau hulur.

Tak kiralah apa juga majlis, be it kenduri kawen, akikah, birthday party, baby shower.....tuan rumah tak harap pun tetamu datang bawah hadiah bawak duit.
Dorang just nak korang datang supaya majlis tu menjadi.
Boleh imagine tak camana perasaan tuan rumah kalau buat majlis tapi orang tak datang.
Boleh ke sesuatu majlis tu dipanggil majlis kalau takde tetamu yang datang?

Jadi, tolong lah jangan insecure dan paranoid sangat.
Jangan kerana kita tak hulur duit macam orang lain maka kita salahkan tuan rumah seolah-olah tuan rumah ni buat kenduri sebab nak dapatkan modal balik.
Kalau rasa nak datang makan je, datanglah. Sebab menghadiri jemputan tu wajib kalau tak ada halangan. Dia pun jemput untuk ko datang kenduri, bukan share kenduri.
Tapi kalau nak datang sambil hulur, itu lebih baik. Niat sedekah nak tolong tuan rumah. 

Ada juga kes tuan rumah yang memang harap tetamu yang datang memberi sesuatu.
Contohnya kat satu majlis kawen aku pergi.
Ada satu meja tempat letak goodie bags.
Mak pengantin jaga meja tu.
Kalau sesape salam kaut dia, baru dia bagi goodie bag. Kalau tak salam kaut, dia tak bagi.
Nak dijadikan cerita, kena kat aku.
Majlis tu kawan En Wan.
En Wan kata takyah hulur lah, biar dia je hulur. Oklah, aku pun follow je dari belakang.
Bila aku salam mak dia kosong, mak dia tak bagi aku apa-apa. Aku pun tak kisah sebenarnya. Sebab aku tau goodie bag kawen ni selalunya akan berakhir ke tong sampah. 
Tapi bila En Wan salam kaut bapaknya, si bapak cakap "Eh bagi ni".
Masa tu baru aku tau kenapa aku tak dapat. Hahahah.

Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya.
Kita yang jadi tetamu ni patutnya kena pandai bawak diri.
Tak patut kita persoalkan wajar ke tak wajar ada salam kaut.
Kita datang tempat orang kan.
Apa salahnya niat hulur sebab nak hormati majlis dan gembirakan tuan rumah.